Malaikat maut
kunjungi Nabi Idris
NABI dan Rasul kedua
ialah Idris, seorang yang sabar dan mempunyai martabat inggi. Dia diutuskan
Allah untuk memberikan petunjuk kepada keturunan Qabil supaya bertaubat
daripada kekufuran.
Nabi Idris dan
pengikutnya menyeru makhluk Allah untuk melakukan perkara baik dan mencegah
kemungkaran.
Dia termasuk golongan
rasul yang wajib diimani setiap orang Islam dan kisahnya dijelaskan Allah
melalui al-Quran.
Misalnya, dalam surah
Maryam: “Dan ceritakanlah (Hai Muhammad kepada mereka kisah) Idris (yang tersebut)
di dalam al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan
seorang nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.”
Nama penuhnya, Idris
bin Yarad bin Mahlail. Keturunan daripada Syits bin Adam. Dia termasuk seorang
nenek moyang Nabi Nuh, menjadi orang pertama dari keturunan Nabi Adam yang
diberi darjat.
Pada masa remaja,
Idris belajar dengan Syits dan ketika mencapai usia dewasa diangkat menjadi
nabi, lalu dia mulai berdakwah dengan melarang kaumnya melanggar syariat Nabi
Adam dan Syits, namun tidak ramai yang taat.
Kemudian dia berniat
untuk berhijrah, meninggalkan negeri itu dengan menyeru bersama pengikutnya
yang sedikit. Mereka keberatan meninggalkan negeri itu lalu berkata kepadanya:
“Jika kita pergi dari sini, di mana lagi kita akan menemui negeri yang sama
(Babil).”
Idris menjawab: “Jika
kita berhijrah kerana Allah, kita akan mendapat rezeki lain.”
Kemudian, Idris dan
pengikutnya berhijrah ke Mesir dan melihat Sungai Nil, lalu berhenti di sungai
itu dan bertasbih kepada Allah. Selepas itu, mereka menyeru manusia supaya
menyembah Allah dan berakhlak mulia.
Idris dan pengikutnya
tinggal di Mesir selama 82 tahun kemudian Allah mengangkat ke sisi-Nya, seperti
firman-Nya: “Dan kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi.”
Nabi Idris adalah
orang pertama yang menulis dengan kalam. Dia sempat berjumpa dengan Nabi Adam
selama 308 tahun kerana umur Adam panjang, iaitu 1,000 tahun.
Ketika berdakwah, dia
menggalakkan kehidupan zuhud, menyuruh umatnya melakukan solat, puasa,
menunaikan zakat dan bersuci daripada hadas, selain mengharamkan minuman keras.
Dia adalah orang
pertama yang mengajarkan ilmu politik peradaban dan menetapkan rancangan
pembangunan kota. Setiap kumpulan dalam kaumnya mula membangunkan kota, hingga
terbina 188 kota ketika itu.
Disebabkan amalan
Nabi Idris banyak diterima setiap hari, dia diangkat ke syurga. Malaikat Maut
sangat cinta dan merinduinya, lalu meminta izin daripada Allah untuk
mengunjungi Idris.
Ketika Malaikat Maut
yang menyerupai manusia mengunjungi Idris, dia ketika itu sedang berpuasa
sepanjang tahun. Justeru, menjelang waktu berbuka, malaikat datang membawa
makanan dari syurga untuk Idris.
Nabi Idris memang
rajin melakukan ibadah. Pada satu ketika mengerjakan ibadah, Malaikat Maut
menunggu di sampingnya, sehingga terbit fajar dan matahari. Malaikat Maut yang
menyerupai lelaki itu masih duduk di sampingnya.
Kemudian mereka
berjalan bersama dan meneruskan perjalanan selama empat hari dan sepanjang
tempoh itu Nabi Idris melihat banyak keanehan daripada malaikat berkenaan, yang
sangat berbeza dengan manusia biasa.
Oleh itu Idris
bertanya: “Siapakah engkau ini sebenarnya?”
Malaikat Maut
menjawab: “Saya Malaikat Maut.”
Idris bertanya:
“Apakah engkau ini yang akan mencabut nyawa setiap orang?”
Malaikat berkata:
“Ya”
Idris bertanya lagi:
“Selama empat hari engkau bersamaku, apakah engkau juga mencabut nyawa orang?”
Malaikat Maut
menjawab: “Ya, saya mencabut beberapa nyawa dan sesungguhnya jiwa makhluk itu
untukku, sama seperti hidangan di depan saya atau seperti engkau menghadapi
sesuap makanan.”
Nabi Idris berkata: “Wahai
Malaikat Maut, apakah engkau datang ini sekadar berkunjung atau mencabut nyawa
saya?”
Malaikat berkata:
“Saya datang hanya untuk berkunjung dengan izin Allah.
Idris berkata: “Wahai
Malaikat Maut, saya mempunyai keinginan denganmu.”
Malaikat berkata:
“Apakah keinginan itu?”
Idris berkata:
“Keinginan saya, supaya engkau mencabut jiwa saya, kemudian Allah menghidupkan
saya kembali, sehingga saya dapat beribadah kepada Allah selepas saya merasakan
sakratulmaut.”
Malaikat berkata:
“Sesungguhnya saya tidak mencabut nyawa seseorang, melainkan dengan izin
Allah.”
Selepas itu Allah
memberikan wahyu supaya mencabut nyawa Nabi Idris. Malaikat Maut mencabut nyawa
Nabi Idris ketika itu juga dan Idris meninggal seketika. Malaikat Maut menangis
dan memohon ampun kepada Allah, supaya Dia menghidupkan kawannya (Idris).
Allah menerima
permintaan itu, lalu menghidupkan kembali Nabi Idris. Kemudian malaikat
berkata: “Wahai saudaraku, bagaimana rasanya maut yang engkau hadapi?”
Idris berkata: “Sesungguhnya,
seperti terkupas kulit dalam keadaan hidup, rasa sakit menghadapi maut itu
lebih 1,000 kali gandanya.”
Malaikat berkata:
“Secara hati-hati dan tidak kasar yang saya lakukan khusus mencabut nyawa
engkau itu, belumlah pernah saya lakukan terhadap orang lain.”
Kemudian Nabi Idris
juga diberikan keizinan bersama Malaikat Maut meninjau neraka jahanam dan
syurga.
Apabila dapat masuk
ke syurga, dia meletakkan kasutnya di bawah pokok. Kemudian dia keluar dari
syurga, lalu berkata: “Wahai Malaikat Maut, kasut saya tertinggal di dalam
syurga, hantarkan saya ke dalamnya.”
Lalu dihantar kembali
Nabi Idris ke syurga dan kali ini dia tidak mahu keluar. Malaikat Maut berkata:
“Wahai Idris, keluarlah.”
Dijawabnya Idris:
“Saya tidak akan keluar kerana Allah sudah berfirman, setiap orang itu
merasakan sakratulmaut. Dan sesungguh saya sudah merasakan maut.
Kemudian, Allah
mewahyukan kepada malaikat, supaya meninggalkan Idris: “Tinggalkanlah dia
(Idris), sesungguhnya Aku telah memutuskan pada zaman penciptaannya dulu,
sesungguhnya dia (Idris) termasuk ahli dan keluarga syurga.”
0 komentar:
Posting Komentar